Renungan Kita Bersama

11 02 2011

IBADAT SEMBAHYANG :
Kelebihannya, kelebihan Jumaat dan Kerugian
Apabila Lambat Ke Masjid Pada Hari Jumaat

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa’ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

Matlamat hidup manusia adalah untuk mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Kebahagiaan itu pula akan dijamin datang apabila manusia mahu melaksanakan perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Antara perintah dan suruhan Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang wajib ditunaikan ialah sembahyang. Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dalam firmanNya yang tafsirnya :

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya; Dan mereka yang mejauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia”.

(Surah Al-Mukminun: 1-3)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa kebahagiaan dan kemenangan hidup itu hanya dapat dicapai oleh orang-orang yang beriman, orang-orang yang menjaga sembahyangnya dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada perbuatan sia-sia.

Sembahyang merupakan salah satu daripada rukun Islam dan merupakan suatu ibadat yang sangat penting dalam Islam. Malah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegaskannya dalam sabda Baginda yang maksudnya :

“Mahukah kamu Aku memberitahukan bahawa dasar (punca) segala urusan, tiangnya dan puncaknya? Aku menjawab: “Ya! Wahai Rasulullah”, lalu Baginda bersabda: “Dasar (punca) segala urusan adalah Islam (dua kalimah shahadat) dan tiangnya ialah sembahyang dan puncaknya ialah jihad”.

(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

Dengan demikian sembahyang merupakan suatu suruhan yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam. Orang yang menunaikan sembahyang ini akan diberi ganjaran pahala kerana mematuhi suruhan Allah Subhanhu wa Ta‘ala. Hidupnya sentiasa mendapat nikmat dan rahmat dari Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan di akhirat nanti akan dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama dengan orang-orang soleh.


KEWAJIPAN SEMBAHYANG JUMAAT

Sembahyang Jum‘at adalah salah satu diantara kewajipan yang termaklum berdasarkan al-Qur‘an dan Al-Sunnah, orang-orang yang mengingkarinya dihukumkan kufur.

Al-Qur‘an menjelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jum‘at, Allah Subhanhu wa Ta‘ala berfirman yang tafsirnya :

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jum‘at, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyangJum‘at) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”.

(Surah Al-Jum‘at: 9)

Berdasarkan ayat ini dan ayat-ayat berikutnya, Allah Subahanhu wa Ta‘ala memerintahkan umat Islam bersegera ke tempat sembahyang Jum‘at (masjid) sebaik-baik sahaja mendengar seruan azan serta meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja-kerja lain, untuk pergi ke masjid mendengar khutbah dan mengerjakan sembahyang Jum‘at. Setelah selesai sembahyang, mereka digalakkan meneruskan usahanya mencari rezeki sambil banyak mengingati Allah dalam segala keadaan. Mereka yang mematuhi ajaran Allah yang demikian itu akan beroleh kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga mejelaskan mengenai kewajipan sembahyang Jum‘at tersebut berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :

“Sembahyang Jum‘at adalah hak yang wajib ke atas setiap orang Islam dengan (mengadakannya) secara berjemaah kecuali empat iaitu seorang hamba, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit”.

(Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Hakim)

Oleh itu, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menetapkan hari Jum‘at sebagai hari besar mingguan bagi umat Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam serta memerintahkan mengadakan satu sembahyang yang khas menandakan kebesaran hari Jum‘at, bagi menggantikan sembahyang Zuhur.

KELEBIHAN HARI JUMAAT

Di antara kebesaran dan kelebihan hari Jum‘at itu ialah penghulu segala hari. Pada hari Jum‘at telah dijadikan bapa segala manusia iaitu Adam ‘alaihissalam. Pada hari itu juga diberikan satu saat di mana segala doa dan permintaan akan dikabulkan kecuali perkara-perkara yang maksiat sebagaimana Rasulullah bersabda yang maksudnya :

“Sesungguhnya hari Jum‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sis Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”.

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hari Jum‘at juga adalah hari pengampunan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada umat Islam baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Dalam hal ini Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kelebihan orang yang berwudhu di rumahnya kemudian pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang Jum‘at dalam sabda Baginda yang maksudnya :

“Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Jum‘at, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jum‘at itu dan hari Jum‘at berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah) telah berbuat sia-sia”.

(Hadis riwayat Muslim)


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: